Uyaina Arshad lantang tegur netizen
Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad tampil menegur segelintir netizen yang didakwanya suka mengumpat dan menyebarkan fitnah secara terbuka di media sosial.
Menurut Uyaina, beberapa individu yang meninggalkan komen berbaur sindiran dan tohmahan terhadapnya bertindak memadam komen serta menyahaktifkan akaun masing-masing selepas dia menegur perbuatan itu secara terbuka.
“Selepas kejadian semalam, masing-masing memadam komen dan menetapkan akaun kepada mod peribadi atau menyahaktifkannya. Semuanya lari bertempiaran seperti lipas kena sembur,” tulisnya menerusi satu hantaran di platform Thread.
Ujarnya, budaya mengumpat secara terang-terangan dalam media sosial menjadi satu kebiasaan dalam kalangan netizen kerana mereka beranggapan tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh individu yang menjadi sasaran mereka.
“Apa yang saya dapat simpulkan di sini, mereka yang berani mengumpat orang lain secara terbuka di media sosial merasakan mereka akan sentiasa terlepas tanpa sebarang tindakan.
“Mereka rasa individu yang menjadi sasaran umpatan itu tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan tidak akan mendedahkan siapa mereka.
“Perkara ini kemudiannya menjadi satu kebiasaan dan kebudayaan yang menyeronokkan kerana ramai yang turut serta dalam perbuatan itu. Inilah yang dipanggil sebagai budaya ‘woke’,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Uyaina berkata budaya menyarankan artis dan figura awam untuk terus berdiam diri atau ‘tidak melayan’ kecaman dan tohmahan juga menjadi faktor yang menggalakkan sikap biadab dalam kalangan netizen.
“Mungkin kerana kita sudah biasa dengan nasihat seperti ‘biarkan saja’ atau ‘abaikan saja mereka yang membenci’. Malah, ada yang berkata, jangan jadi artis kalau tidak kental.
“Namun, adakah menjadi seorang artis atau figura awam bererti perlu menerima segala bentuk buli dan penyalahgunaan secara dalam talian? Dan adakah kita akan dilabel sebagai ‘koyak’ atau ‘melatah’ sekiranya kita memberi reaksi?.
“Saya tidak mengatakan nasihat ini salah kerana banyak juga manfaatnya demi kesejahteraan mental. Saya sendiri sudah lama mengamalkan sikap tidak melayan kecaman sepanjang kerjaya saya dan ia benar-benar menenangkan.
“Namun inilah juga yang menyebabkan kumpulan kaki mengumpat ini semakin berani kerana tiada sesiapa yang menyanggah atau menegur mereka,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Uyaina turut mendedahkan terdapat individu yang mendakwa kononnya suaminya bekerja sebagai pegawai bank dan pernah menguruskan permohonan pinjaman atas nama Uyaina, sambil melabelnya sebagai selebriti yang sombong.
“Ada yang mengatakan suaminya seorang pegawai bank dan pernah menguruskan permohonan pinjaman saya. Malah, individu itu turut menyatakan saya bersikap sombong mengalahkan Datuk dan Datin.
“Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah membuat sebarang pinjaman sepanjang hidup saya. Jadi, sama ada wanita itu menipu atau suaminya yang menipu. Ini adalah satu bentuk fitnah yang mencemarkan reputasi saya.
“Apabila saya menegurnya secara langsung dan meminta nombor telefon serta butiran suaminya, individu itu terus memadam komen. Ternyata dia takut,” katanya.
Susulan itu, Uyaina menyeru agar masyarakat mula membiasakan tindakan untuk menegur dan menuntut penjelasan secara bersemuka dalam ruang siber sebagai satu bentuk pengajaran kepada mereka yang suka menabur fitnah.
Tambahnya lagi, dia kini lebih memahami mengapa ada segelintir selebriti yang bertindak keras terhadap netizen yang melampaui batas sehingga menyebabkan tekanan emosi.
Tindakan Uyaina itu menerima pelbagai reaksi netizen dengan kebanyakan mereka menyokong ketegasannya dan berpendapat selebriti juga mempunyai hak untuk mempertahankan maruah diri.
Leave a Reply